Soalan Lazim SIRI 2: Biasiswa JPA

Assalamua'laikum,

Permohonan Biasiswa PIDN JPA 2014 Program Ijazah Dalam Negara secara Online. Adalah Dimaklumkan Bahawa Permohonan Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam Di Bawah Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) bagi mengikuti pengajian peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam negara bagi Sesi 2014/2015 dijangka akan dibuka pada bulanSeptember 2014*.

IPTA Tajaan JPA

Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang disenaraikan bagi Biasiswa JPA program pengajian peringkat Diploma dan Ijazah adalah seperti berikut:-
  • Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA)
  • Universiti Islam Antarabangsa (UIAM)
  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  • Universiti Malaya (UM)
  • Universiti Malaysia Pahang (UMP)
  • Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
  • Universiti Malaysia Sabah (UMS)
  • Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
  • Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
  • Universiti Putra Malaysia (UPM)
  • Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
  • Universiti Sains Malaysia (USM)
  • Universiti Teknikal Malaysia (UTeM)
  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  • Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  • Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
  • Universiti Utara Malaysia (UUM)
  • Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
  • Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
  • Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT)

IPTS Tajaan JPA

Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang disenaraikan bagi Biasiswa JPA program pengajian peringkat Ijazah sahaja adalah seperti berikut:

  • Universiti Multimedia (MMU)
  • Universiti Teknologi Petronas (UTP)
  • Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)

Syarat Kelayakan

(a) Syarat-syarat Asas
  • Warganegara Malaysia;
  • Umur tidak melebihi 25 tahun pada atau sebelum 1 Januari 2014;
  • Memiliki Sijil Penuh bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melayakkan lantikan ke perkhidmatan awam termasuk kepujian dalam Bahasa Melayu dan Ujian Lisan pada peringkat SPM atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan; dan
  • Telah menerima tawaran kemasukan ke tahun pertama (1) pengajian (Bagi lepasan Matrikulasi/Asasi/STPM) atau tahun kedua (2) dan ke atas di peringkat ijazah pertama dan mempunyai baki 2 tahun pengajian; dan
  • Tahun pertama peringkat diploma dari mana-mana IPTA (kecuali UPSI).

(b) Syarat Khusus (Kelayakan Akademik)
i. SPM 2013
> Minimum 7A- termasuk mata pelajaran Bahasa Melayu
> Untuk Diploma
ii. Bagi pelajar tahun satu dan ke atas di IPTA adalah menggunakan CGPA terkini
> CGPA 3.30
> Untuk Ijazah Pertama
iii. Bagi tahun satu dan ke atas di IPTS dan Kampus Cawangan adalah menggunakan CGPA terkini atau setaraf
> CGPA 3.50 / 70% / HD / B
> Untuk Ijazah Pertama
iv. Matrikulasi/Asasi/STPM
> CGPA 3.75
> Untuk Ijazah Pertama
v. Diploma/Lepasan Diploma
> CGPA 3.5
> Untuk Ijazah Pertama

Cara Permohonan PIDN JPA
Permohonan boleh dibuat di laman http://esilav2.jpa.gov.my/ dijangka pada bulan September 2014*

Tertakluk pada perubahan semasa oleh pihak JPA

1 comments:

Soalan Lazim SIRI 1

Assalamua'laikum, berikut disertakan soalan-soalan lazim yang ditanya oleh pelajar baharu.


1. Berapakah yuran kemasukan UKM?

Yuran adalah bergantung kepada KOLEJ dan juga bergantung kepada FAKULTI atau lebih tepat, KURSUS yang anda ambil. Lain kolej, dan fakulti, lain jumlahnya.

2. Bagaimana caranya untuk membayar?

Terdapat dua kaedah pembayaran yuran, 

  •  melalui sistem "bank-in" atau lebih tepat, pembayaran dilakukan dengan memasukkan duit secara "bank-in"  melalui BIMB (Bank Islam Malaysia Berhad).
*Resit yang telah diterima setelah pembayaran secara "bank-in" hendaklah disimpan sebagai bukti*
  • melalui pembayaran secara tunai (manual) iaitu pembayaran tunai terus ke pihak Bendahari, di Canselori. 

3. Bagaimana pemakaian mahasiswa/i UKM semasa Minggu Mesra Melajar (MMP)?

Bagi mahasiswa, anda dikehendaki memakai baju kemeja putih berlengan panjang, berseluar hitam (seluar slack) dan tie UKM (akan diserahkan sewaktu pendaftaran di kolej). Mahasiswa juga hendaklah memakai kasut berkulit yang berwarna hitam. Untuk pemakaian baju, terdapat sesetengah slot yang akan ditentukan oleh kolej masing-masing (mengikut kolej).

Bagi mahasiswi pula, SEMUA (merangkumi semua bangsa) mahasiswi DIWAJIBKAN memakai baju kurung berwarna biru dan kasut hitam bertutup. Bagi yang beragama Islam, anda diwajibkan memakai tudung putih sepanjang MMP.

4. Tahun 1, boleh bawa kenderaan atau tidak?

Boleh tetapi hanya motorsikal sahaja dan anda hendaklah mendaftar di Wisma Aman, UKM untuk membenarkan anda menunggang motorsikal di dalam lingkungan universiti.

Kereta TIDAK DIBENARKAN
5. Saya berasal dari Johor dan saya tidak mempunyai kenderaan. Adakah terdapat kemudahan pengangkutan di sekitar kawasan Bangi atau Kajang?

Jawapan : Di UKM, terdapat pelbagai kemudahan pengangkutan disediakan. Antaranya ialah bas "shuttle" yang menghantar pelajar ke stesen Komuter UKM. Kemudian, anda boleh ke perhentian terminal One di Seremban ataupun BTS (Bandar Tasek Selatan) untuk meneruskan perjalanan anda ke rumah anda. 

Ataupun

anda juga boleh menaiki bas Rapid KL untuk ke perhentian Kajang yang menyediakan perkhidmatan bas ke seluruh semenanjung Malaysia.
6. Bantal disediakan tak?

Bantal tidak disediakan. Anda hendaklah membawa bantal daripada rumah. Atau membeli daripada kedai yang berhampiran.

7. Saya daripada Sabah dan Sarawak. Saya tidak mempunyai saudara di Semenanjung Malaysia, jadi siapa yang akan menjemput saya?

Anda perlu menghubungi nombor telefon kolej anda (disertakan dalam surat tawaran). Hubungi nombor tersebut pada waktu pejabat dan anda hendaklah memaklumkan secepat yang mungkin untuk memudahkan proses pengambilan. Apabila anda selamat sampai di lapangan terbang, akan ada pihak yang akan menjemput anda (wakil setiap kolej).

8. Saya datang dari jauh dan saya bercadang untuk bermalam bersama keluarga di UKM kerana saya datang awal daripada hari pendaftaran. Jadi dimana keluarga saya boleh bermalam?

Tidak perlu risau. Di dalam UKM sendiri terdapat hotel yang disediakan. Anda cuma perlu menempah di laman web berikut secepat mungkin. http://www.puripujangga.com.my/.

9. Saya tiada kenderaan. Malah, fakulti dan kolej saya jauh. Adakah terdapat kemudahan pengangkutan dalam UKM?
Ada. Di UKM, disediakan perkhidmatan bas "shuttle" yang akan menghantar mahasiswa/i ke Kolej - Fakulti - Kolej.

10. Bagaimana pemakaian sewaktu ke kuliah?

Bagi mahasiswa, anda hendaklah berpakaian t-shirt berkolar, seluar panjang, dan berkasut. Bagi mahasiswi, tidak dibenarkan sama sekali untuk berpakaian menjolok mata dan hendaklah sopan serta menutup aurat bagi yang beragama Islam.

10. Bagaimana untuk tukar kos Perakauan?

Kos perakaunan hanya boleh didaftarkan pada tahun kedua pengajian anda. Permohonan untuk mendaftar kos Perakaunan akan dibuka pada akhir semester 2. Anda akan belajar subjek basic sahaja pada sem 1 dan 2.

11. Apa syarat untuk mendaftar kos perakauan?

PNGK anda perlulah atas 3.00 dan mendapat sekurang-kurangnya B dalam subjek Matematik untuk Perniagaan dan Ekonomi dan Statistik untuk Perniagaan dan Ekonomi. Cuba dapatkan A dalam subjek Prinsip Perakaunan dan aktif dalam kegiatan fakulti. Temuduga akan dijalankan sebelum terpilih untuk kos perakaunan.

12. Pelajar jurusan Ekonomi boleh tukar Perakaunan?

Boleh, tetapi selepas pendaftaran perakaunan untuk pelajar jurusan Pentadbiran Perniagaan.

13. Jika MUET dapat Band 1 dan Band 2 perlu ulang atau tidak? Kerana ada yang mengatakan kalau tidak dapat sekurang-kurangnya Band 3 tidak boleh graduate.

Tidak perlu. Band 1 dan Band 2 perlu ambil kursus Bahasa Inggeris Tambahan iaitu kursus Foundation English kemudian Academic Communication. Kalau Band 3 tidak perlu ambil kursus Foundation English tetapi terus saja ambil kursus Academic Communication. Tiadalah sampai tidak boleh graduate, jangan risau.

14. Pergi kuliah boleh pakai sandals atau wajib pakai kasut hitam bertutup?

Ikut kesesuaian. Jika ada pembentangan dalam kuliah, perlu pakai kasut hitam bertutup. Sandals hanya boleh pakai masa kuliah biasa sahaja. Bergantung pada pensyarah jugak, kerana lain pensyarah lain peraturan pemakaiannya.

15. Bagi lepasan matrikulasi, buku nota dari matrikulasi perlu bawa atau tidak?

Ikut keperluan. Nanti akan ada masa baca nota matrikulasi kita lagi faham daripada nota yang dapat dari pensyarah.

16. Yang mana satukah sijil MUET?

Sijil MUET adalah slip MUET. MUET tiada sijil.

17. Pelekat kenderaan ada satu sahaja, bermakna hanya satu kenderaan saja yang boleh dibawa pada hari mendaftar?

Pelekat kenderaan hanyalah untuk memudahkan perjalanan pendaftaran. Pelekat ini akan dibaca oleh pengawal keselamatan, jadi apabila dia tengok kolej apa yang tertera dalam pelekat itu, dia akan tunjuk arah jalan ke kolej anda. Jika tiada pelekat kenderaan, cakap saja pada pengawal keselamatan anda daftar di kolej mana.

18. Adakah pelajar perlu mengambil borang pertukaran kursus atau tidak? Dan perlukah buat surat rasmi untuk pertukaran kursus?

Tidak perlu. Borang pertukaran kursus boleh diambil pada akhir Tahun 1 Semester 2.

19. Bilakah jadual waktu kuliah diedarkan?


Jadual waktu kuliah perlu disusun SENDIRI dari segi waktu dan kelas semasa pendaftaran kursus nanti. Panduan pendaftaran subjek akan diberi semasa Minggu Mesra Pelajar (MMP) dan anda akan dibawa untuk mendaftar subjek.

20. Boleh pakai jeans ke kuliah?

Boleh tapi bergantung kepada pensyarah. Terdapat sesetengah pensyarah tidak mengalakkan pelajar memakai jeans ke kelas.

21. Saya terlupa membuat pengesahan pada sijil MUET saya.
Biasanya pada hari pendaftaran akan ada pegawai yang berkelayakan untuk sahkan dokumen kita. Jadi masa pendaftaran nanti maklumkan kepada pemudahcara dan mereka akan bawa ke pegawai tersebut.

22. Untuk membuat pengesahan biasiswa, perlu rujuk pada siapa?

Pergi ke pejabat dekan FEP di tingkat 5 atau Unit Kaunseling di Pusanika.

23. Nak naik bas Nadi Putra perlu bayar ke?

Tak perlu, sebab yuran pengangkutan sudah termasuk dalam Yuran yang dibayar. 

24. Jika saya tertinggal atau belum membuat Medical Checkup semasa pendaftaran, bagaimana?

Anda boleh memaklumkan pegawai yang bertugas. Semasa MMP, anda dibenarkan untuk membuat MC dan serahkannya sebelum minggu kuliah bermula. 

25. Terma-terma yang harus diketahui oleh pelajar baharu,

a. Kolej = Kolej kediaman 
b. Pemudah cara = Fasilitator yang terdiri daripada pelajar senior
c. DECTAR = Dewan Canselor Tunku Abdul Razak 
d. MMP= Minggu Mesra Pelajar

Sekian, untuk Siri yang pertama ini, insyaAllah jika ada kesempatan, kami akan post-kan untuk Siri kedua pula. Diharapkan post kali ini dapat menjawab segala persoalan sedikit sebanyak buat anda yang dalam kemusykilan. Terima kasih.

Jika anda masih mempunyai soalan ingin diajukan, sila kemukakan di sini

'Mahasiswa Berinspirasi Mencorak Transformasi'

2 comments:

Selamat Datang kepada Pelajar Kemasukan September 2014 FEP

Assalamua'laikum,


Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah, kerana dengan rahmat-Nya, anda diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke UKM ini. Kami daripada Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi dan Pengurusan ingin mengucapkan Selamat Datang kepada pelajar baharu sesi 2014/2015.

Beberapa perkara penting yang perlu diambil tahu ialah, pelajar baharu dialu-alukan untuk,

1. 'Like' page PMFEP di Facebook.
2. Sertai kumpulan (group) Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia PMUKM.
3. Sertai kumpulan (group) Kelab Pelajar Tahun Satu (KPTS) FEP Sesi 2014/2015
3. Ikuti (Follow) blog rasmi kami ini melaui e-mel anda.

Hal ini demikian supaya anda tidak ketinggalan bahkan menjadi yang terawal mengetahui isu-isu, informasi-informasi serta beberapa FAQs penting bagi memudahkan anda semasa Minggu Mesra Pelajar (MMP) sekali gus memudahkan anda sepanjang berada di UKM ini.

Akhir sekali, kami sangat mengalu-alukan anda untuk bertanya sebarang kemusykilan mengenai FEP dan UKM agar segalanya jelas dan tiada sebarang khabar angin diuar-uarkan melalui sumber yang tidak autoriti. Sebarang interaksi, anda boleh berkomunikasi dengan kami melalui sumber-sumber yang telah dinyatakan di atas.

Tidak lupa juga, anda boleh memberikan apa-apa pandangan, dan soalan melalui borang pertanyaan ini.


Sekali lagi, kami mewakili semua warga UKM khususnya FEP ingin mengucapkan 'Selamat Datang dan Selamat Maju Jaya'.

"Mahasiswa Berinspirasi Mencorak Transformasi"

1 comments: